TITAH
KEBAWAH DULl YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI
HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN
WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN
HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG
DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
SAMBUTAN 100TAHUN PERKHIDMATAN
KESIHATAN DAN PELANCARAN
KONVENSYEN KESIHATAN 2007

PADA HARI KHAMIS
5HB. ZULKAEDAH 1428
15HB. NOVEMBER 2007

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, BANDAR SERI BEGAWAN,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHEEM
ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH

ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan Negara Brunei Darussalam 2007.

Kesihatan adalah kurnia Allah paling berharga. Dengan adanya tubuh badan yang sihat, dapatlah kita menjalani kehidupan dengan penuh nikmat lagi sempurna. OIeh itu memang wajar, jika bidang ini mendapat perhatian istimewa dari semua kalangan, khasnya kerajaan.

Perkhidmatan kesihatan yang telah melalui 100 tahun kelangsungannya adalah salah sebuah perkhidmatan yang tertua di negara ini. Ia telah menempuh zaman susah dan senangnya, turut dibahangi oleh keperitan peperangan dunia pertama dan kedua, wabak-wabak penyakit yang melanda penduduk dunia, dan kini sedang mengecap nikmat kemakmuran.

Namun kemakmuran saja belumlah sempurna tanpa perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Rakyat dan penduduk perlu mendapat jaminan kesihatan yang sebaik-baiknya, supaya mereka dapat melepaskan diri dari pelbagai ancaman penyakit.

Kerana itu, Beta turut gembira dengan beberapa pencapaian dalam perkhidmatan kesihatan kita. Misalnya kejayaan kita menghapuskan penyakit malaria sejak bulan Ogos, 1987 dan poliomilitis pada bulan Oktober, 2004 adalah satu rekod yang membanggakan.

Beta juga yakin, pencapaian ini tentu saja ada kaitannya dengan kemajuan dan perkembangan diluar perkhidmatan kesihatan, seperti kemajuan sektor perumahan, pembekalan air bersih, pengawalan alam sekitar, peningkatan kualiti kemudahan-kemudahan asas dan seumpamanya.

Perkhidmatan kesihatan di negara kita adalah juga seperti di negara-negara lain, sentiasa berhadapan dengan cabaran-cabaran yang sukar dielakkan. Maksud Beta dengan cabaran-cabaran itu ialah seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan (rising health care cost) yang disebabkan oleh kenaikan harga ubat, peralatan perubatan terbaru dan kaedah rawatan moden.

Demikian juga cabaran berupa pcnyakit-penyakit ganjil seperti SARS dan Selesema Burung, atau kemunculan semula penyakit-penyakit berjangkit, seperti TB, malaria, poliomilitis dan lain-lain, adalah juga turut memerlukan kewaspadaan kita itu.

Ditambah lagi masa ini, kita juga tidak terkecuali dilanda penyakit-penyakit kronik yang tidak berjangkit, seperti kanser, buah pinggang, penyakit jantung koronari, kencing manis dan lain-lain.

Menurut pengamatan perkhidmatan kesihatan, penyakit-penyakit kronik yang tidak berjangkit ini banyak ditentukan oleh gaya hidup yang tidak seimbang, seperti kurang bersenam, peningkatan kegemukan tanpa kawalan, tabi’at merokok dan lain-lain.

Ini, menjadikan tanggungjawab perkhidmatan kesihatan bertambah berat lagi. Disamping menyediakan dan memberikan rawatan-rawatan yang sewajarnya, ia juga tidak boleh berhenti dari membimbing masyarakat, supaya berterusan memelihara kesihatan dengan amalan-amalan gaya hidup sihat, baik dalam permakanan, pergerakan atau riadhah dan juga mewujudkan persekitaran yang bersih.

Tiga aspek ini jika disebut, lmemanglah mudah, tetapi melaksanakannya bukanlah semudah menyebutnya. Kerana itulah Beta agak terpanggil untuk menimbulkannya diini.

Sehubungan dengan ini, Beta adalah mengalu-alukan Kementerian Kesihatan dalam usahanya memberikan penekanan kepada aspek-aspek pencegahan dan promosi kesihatan. Beta tertarik dengan beberapa program yang dikendalikannya, iaitu Program Pemeriksaan Menyeluruh dan Promosi Kesihatan Warga Perkhidmatan Awam, dan satu lagi Program Mukim Sihat yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

Beta berharap, program seperti ini hendaknya dapat diperluaskan lagi supaya semua lapisan rakyat dapat menikmatinya, terutamanya, usah kita lupakan golongan pelajar di sekolah-sekolah.

Beta juga sangat tertarik kerjasama Kementerian Kesihatan dengan pihak swasta didalam menangani masalah kesihatan. Salah satunya ialah pembinaan bangunan Pusat Promosi Kesihatan yang dibiayai sepenuhnya oleh Shell International. Kerjasama seperti ini amatlah dialu-alukan.

Yang penting bagi kita ialah menuju tahap kesihatan yang sebaik-baiknya. Brunei dengan izin Allah adalah mampu untuk itu. TinggaI saja lagi cara kita merancang, memikir dan melakar wawasan adalah memerlukan kebijaksanaan.

Projek infrastruktur kesihatan yang sedang dilaksanakan melalui Pelan Kemajuan 5 Tahun Negara adalah salah satu contoh yang mencabar kebijaksanaan bagi semua.

Tujuan projek adalah untuk menambahkan kemudahan di Hospital RIPAS, tetapi apabila sudah siap kelak, mungkin lebih banyak lagi kekurangan didapati disana sini.

Mengapakah perkara serupa ini mungkun terjadi? Ya, mungkin saja, bila mana perancangan kurang kemas dan wawasan lemah.

Begitulah juga dalam merancang untuk mendapatkan tenaga pekerja kesihatan yang mencukupi, wawasan kita tidaklah memadai setakat hanya untuk mendapatkan bilangan yang ramai semata-mata, tanpa meliputi tenaga-tenaga mahir atau pakar.

Kita tidak mahu orang berkata:

"Bilangan saja ramai tetapi tidak berkualiti”.

Begitu juga jangan terjadi, bangunan Rumahsakit saja indah tersergam, tetapi masih banyak lagi kekurangan yang perlu diisi, umpamanya peralatan-peralatan mustahak dan ubat-ubatan.
Apa benarkah peralatan dan ubat–ubatan kita tidak cukup?

Semuanya itu memerlukan perancangan kemas dan ketelitian. Teliti sungguh-sungguk keperluan-keperluan ini. Dan mengenai ubat, perinci keperluan, sambil awasi dan buat peraturan-peraturan untuk menjamin kesempurnaan pembelian, pengeluaran dan pemberian kepada pesakit.

Pastikan juga stor ubat, diurus dan dikendalikan oleh pekerja-pekerja yang benar-benar amanah.

Akhirnya, bersempena dengan sarnbutan 100 tahun Prrkhidmatan Kesihatan di Negara Brunei Darussalam, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga perkhidmatan kesihatan dan semoga khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh mereka, termasuk juga mereka yang terdahulu akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat ganjaran pahala yang setimpal.

Dengan mendahulukan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Rahim Washshalatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Washahbihee Ajma’een, Beta dengan amat sukacita merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan Negara Brunei Darussalam 2007.

Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wasallamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***